Sambutan Maal Hijrah 1434H yang lepas dicemari dengan aktiviti tidak bermoral membabitkan sekumpulan mak nyah yang dipercayai sedang menunggu pelanggan di sekitar kawasan Pandan Indah.
Kira-kira enam mak nyah berpakaian menjolok mata didapati berkeliaran di sekitar rumah kedai di situ, bertempiaran lari setelah menyedari kehadiran sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, yang membuat rondaan pencegahan kira-kira jam 5 pagi.
Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, mak nyah terbabit cuba lari setelah terserempak van dinaiki pegawai penguatkuasa agama.
"Ada di antara mereka cedera ringan kerana terjatuh ketika berlari menaiki tangga sebuah rumah kedai. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 38 tahun itu berjaya dicekup," katanya.
Difahamkan, mak nyah berkenaan mengenakan bayaran serendah RM50 untuk setiap pelanggan.
Salah seorang mak nyah memberi alasan sukar mendapat pekerjaan dan penerimaan masyarakat terhadap golongan sepertinya menyebabkan dia melakukan perbuatan terkutuk itu.
Mak nyah berusia 26 tahun itu dipercayai pernah ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sebelum ini.
Operasi tersebut dijalankan mengikut Seksyen 30, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika didapati bersalah boleh didenda RM1,000 atau 6 bulan penjara.
Dalam operasi berasingan yang turut mendapat kerjasama daripada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), seramai 50 orang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan di Bukit Langat dan Bukit Permai.
Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai berkelakuan kurang sopan yang boleh menimbulkan syak di tempat awam.
Kesemua mereka juga wajib mengikut sesi kaunseling di Masjid Al-Azim pada 25 November ini.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment