Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...

Tuesday 26 March 2013

TERKINI: Siapa Dari Sabah Kirim Wang Pada Pengganas Sulu Di Filipina???... #LahadDatu


LAHAD DATU – Polis mengesan berlaku pengiriman wang ke Pulau Jolo, Filipina oleh beberapa individu dari Sandakan dan Semporna, Sabah bertujuan membiayai kumpulan pengganas di sana.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan keselamatan kini memantau rapi perbuatan individu itu yang mengkhianati negara dan tangkapan akan dilakukan apabila tiba masanya.

Beliau berkata, perbuatan menghantar duit ke Pulau Jolo untuk membantu kumpulan pengganas adalah kesalahan yang amat berat dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori.

"Jadi, saya nasihatkan mana-mana individu yang terlibat supaya segera menghentikan tindakan mereka kerana perbuatan itu adalah satu pengkhianatan kepada negara dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, di sini hari ini.

Tanpa menjelaskan bilangan individu yang terlibat dan amaun yang dihantar, Khalid berkata nilai wang yang dihantar tidak penting kerana tindakan undang-undang tetap sama jika tujuannya membantu musuh negara.


Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata, seramai 429 individu telah ditangkap dan daripada jumlah itu 116 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 42 daripadanya telah dibebaskan.

Beliau berkata, 42 mayat musuh telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran termasuk dua mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dua hari lepas, manakala 29 mayat telah dikebumikan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo telah dibawa masuk ke perkampungan terbabit pagi ini bersama pegawai dari Pejabat Daerah Lahad Datu bagi membolehkan mereka melawat rumah dan harta benda masing-masing.

Ini adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara serta Majlis Daerah Lahad Datu, dan dibantu Majlis Keselamatan Negeri bagi menilai kerosakan dan jumlah ganti rugi yang perlu diberikan.

Berhubung seorang pengganas Sulu yang menyerah diri di kawasan Kampung Tanjung Batu petang semalam, Khalid berkata keadaan fizikal militan itu yang lesu setelah 15 hari tidak menjamah makanan adalah gambaran kepada keadaan yang dialami saki-baki pengganas yang bersembunyi di kampung terbabit.


"Jadi kita harap pengganas lain yang berada di dalam semak dan paya berhampiran supaya turut berbuat demikian kerana sudah ketiadaan bekalan makanan selain kehilangan arah berikutan pemerintah tentera mereka telah ditangkap," katanya. – BERNAMA 
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers