Columbus – Satu keluarga di Ohio memenuhi permintaan seorang lelaki agar membolehkan dia menunggang motosikal Harley-Davidson yang disayanginya buat kali terakhir sebelum dikebumikan.
Mayat Billy Standley yang meninggal dunia Ahad lalu dilihat memakai jaket kulit dan berkaca mata hitam sambil menunggang model Electra Glide keluaran 1967 itu di dalam keranda yang ditutupi kaca lutsinar. Mayat Standley, 82, yang mati akibat kanser paru-paru dapat dilihat dengan jelas menerusi keranda istimewa itu.
Selama bertahun-tahun dia memberitahu keluarga dan rakan yang dia bukan saja mahu menunggang motosikal ke 'syurga,' tetapi turut mahu orang lain melihatnya melakukannya.
Dia membuat persediaan untuk upacara pengebumiannya dengan membeli tiga lot tanah bersebelahan kubur isterinya, Lorna agar kawasan itu dapat memuatkan keranda besarnya yang unik itu.
Anak lelakinya, Pete dan Roy kemudian mereka keranda daripada kaca lutsinar yang dilengkapi dengan kayu dan logam di bahagian bawahnya. Bagi memastikan Standley tidak terjatuh di sepanjang perjalanan, mayatnya diampu dengan pendakap dan tali pengikat.
"Kami pernah melakukan sesuatu yang istimewa tetapi tidak sampai ke peringkat sebegini," kata Tammy Vernon pekerja rumah mayat.
"Standley meminta dia dikebumikan bersama motosikalnya dan kami gembira untuk membantu," katanya. Keluarga Standley menyokong penuh rancangan pengebumiannya dan berhasrat untuk mempamerkan keranda berkenaan yang disimpan di garaj kediaman mereka selama lima tahun kepada orang ramai.
No comments:
Post a Comment