Sepanjang tahun 2011 Pakatan Rakyat memaparkan pelbagai karenah, ragam dan dakyah yang jelas dan rencam untuk memenangi hati pengundi Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 bagi merampas takhta kekuasaan negara di Putrajaya.
Paling menonjol adalah kesongsangan tabiat, perilaku dan tutur kata individu utama dalam PKR. Untuk mengatasi suasana karam yang tenat, seluruh ranting dan dahan pun cuba dipaut dan diragutnya menerusi apa jua tindakan yang selaras dengan dictum matlamat menghalalkan cara.
Keduanya adalah penukaran matlamat PAS daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Kebajikan. Tindakan ini memanifestasikan sikapnya yang kini kow-tau kepada DAP. Sekali lagi, inilah bentuknya tindakan matlamat menghalalkan cara.
Akhir sekali – tapi tidak kurang hebatnya — adalah pemaparan pelbagai tembelang DAP yang selama ini mendabik dada kononnya dialah parti yang sempurna, demokratik, bersih, bebas daripada rasuah, membenci kronisme dan mengutuk neopotisme.
Maka, sebesar dan selebar mana sekalipun tudung yang digunakan, bangkai gajah DAP tetap tidak boleh ditutup. Bau busuknya kian merebak dan mencemari imejnya sendiri di seluruh tanah air.
Mutakhir ini komponen Pakatan Rakyat pula tenat dicengkam krisis. PKR dilanda krisis integriti. DAP digugat krisis Karpal-Ramasamy. PAS diancam krisis Hassan Ali-Mustapha Ali.
Ini semua petanda yang Pakatan Rakyat sedang kucar-kacir. Parti-parti macam ini mana boleh perintah Malaysia seperti Barisan Nasional?
DAP kini kelam kabut tuduh menuduh pasal pembahagian projek dan sebagainya. Selama ini DAP tuduh BN dan UMNO amalkan kronisme. Sekarang bukankah DAP yang berpecah oleh sebab kronisme?
Kelompok India dalam DAP kini sedang bertelagah sesama sendiri. Kelompok Cina dalam DAP pula hanya berdiam diri sebagai pemerhati. Inikah amalan multi-racialisme dalam DAP?
PAS kecoh tuduh menuduh pasal Datuk Hassan Ali kononnya berjumpa dengan orang UMNO. Hassan memberontak dan berkata, Datuk Mustafa Ali yang sebenarnya menemui orang UMNO. Dolak-dalik pun berlaku dalam parti yang kononnya lebih Islam daripada umat Islam lainnya di seluruh dunia?
Parti Keadilan Rakyat sedang dibelenggu tabiat songsang pucuk pimpinan tertingginya. Individu yang mendakwa sebagai tokoh besar macam inikah yang boleh jadi Perdana Menteri?
Seluruh kisah mutakhir ini menutup tirai tahun 2011. Bersamanya tertudunglah seluruh kedangkalan pemikiran, kedolak-dalikan kata dan tindakan, kesongsangan perilaku dan kepalsuan imej Pakatan Rakyat yang dipamerkan kepada audiens politik Malaysia sepanjang tahun ini.
Namun kelompok parti-parti inilah yang sedang tonggang-langgang mempengaruhi rakyat Malaysia menerusi cita-cita Mat Jenin, Pak Kadok dan Lebai Malang.
Inilah sebabnya, walaupun dalam kemelut yang serius, mereka terus memepeskan lada bagi burung yang masih terbang, dan mencurahkan air dari tempayan walaupun guruh berdentum dan hujan tak jadi.
Lantas terserahlah kepada UMNO dan BN untuk bergerak dan bertindak dengan penuh yakin dan semangat yang tinggi. Namun waspada, yang diperlukan adalah tindakan yang sepadu, berkesan dan jitu. Jangan bergerak ikut hati dan rasa. Tetapi, bertindak secara komited dan bijaksana.
Sumber : KudaKepang
No comments:
Post a Comment