Jadilah Sahabat Kulaan...

SEWA

SEWA

TRIP

TRIP
PAKEJ TRIP KE KRABBI, HATYAI TERMURAH...

Sunday 29 January 2012

Puaka Niring : Jenis-jenis Hantu Di Malaysia Sahaja???...


Kepercayaan Hantu dalam Masyarakat Melayu

Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus atau semangat jahat yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. 

Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap menjadi kediaman jin atau penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang lebih dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut tidak mengganggu manusia dan sebaliknya akan membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. 

Amalan ini amat besar dosanya dan dikategorikan sebagai Syirik Jali iaitu perbuatan syirik yang jelas dan nyata. Amatlah perlu berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam golongan yang dimurkai Allah swt ini. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.

Dengan kedatangan agama Hindu dan Bhudda, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan sesuatu. 


Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.

Islam menghapuskan kepercayaan tahyul

Kedatangan ugama Islam telah menyedarkan bahawa tidak terdapat roh dan hantu, yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk halus ini yang dikenali sebagai jin dan syaitan, dianggap mendiami alam yang berbeza dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah swt. 

Sebagai umat Islam yang beriman dengan perkara-perkara ghaib, kita hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata. Kita digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan hendaklah selalu berdoa 'Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam - A'uzubillah himinash syaitanirrajim'

Bagaimanapun kebudayaan Melayu yang menebal menyebabkan masih ada yang terkeliru beza antara Islam dan kebudayaan Melayu, yang mendorong mereka menyangka amalan-amalan kebudayaan adalah amalan Islam. Sebagai contoh mandi Safar pernah disalah-anggap satu amalan Islam, sehinggalah para ulamak telah tampil ke hadapan bagi menjelaskan amalan Islam yang sebenar, yang akhirnya mendorong pesta mandi safar dimansuhkan.

Bagaimanapun budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana kecenderungan ibubapa yang sering menakut-nakutkan anak-anak dengan kewujudan hantu hingga menyebabkan anak-anak mereka benar-benar takut kepada hantu dan percayakan bahawa hantu itu berkuasa untuk memudaratkan mereka.

Peranan media massa

Pada zaman awal perfileman, filem-filem hantu Melayu seperti Pontianak, Dendam Pontianak dan Pontianak Gua Musang juga telah mendapat sambutan hangat daripada para penonton dan penggemar filem pada waktu itu. Akibat kejahilan dalam ugama dan ramai yang tidak terpelajar, filem-filem itu telah berjaya mempengaruhi masyarakat dahulu. Ini mendorong kerajaan menghentikan pembuatan dan penayangan filem-filem bercorak hantu yang boleh merosakkan akidah. 

Bagaimanapun cerita-cerita hantu masih ditulis dalam majalah-majalah. Setelah dipertimbangkan kembali bahawa kebanyakan orang sekarang adalah terpelajar, dan faktor kebanjiran masuk filem-filem hantu asing, ini telah mendorong kerajaan menarik balik sekatan tersebut sekitar tahun 2000. Malah dokumentari alam ghaib seperti Filem Melangkah ke Alam Ghaib, Misteri Nusantara di TV3, turut membincangkan mengenai kewujupan alam ghaib itu.

Malahan sekarang filem-filem seperti Mistik, Susuk, Saka, Gong, Potret Mistik dan Pontianak Harum Sundal Malam telah kembali mendapat perhatian peminat filem-filem hantu tersebut.

Mengapa kita mengaitkan kewujudan hantu ?

Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :
- Sakit mengejut tanpa sebab padahal sebelum ini kelihatan sihat ?
- Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam ?
- Mengapa sesebuah rumah itu kerap ditinggalkan oleh penghuninya
- Dan jika ada orang yang berpindah masuk, tidak kekal lama
- Kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam
- Mengapa mayat seseorang dikatakan ada bahadi

Pendapat sesetengah orang yang tidak percaya dengan kewujudan makhluk halus
Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya janganlah keluar waktu malam atau waktu maghrib. Dan mungkin juga cerita hantu disebarkan kerana ia mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.

Ciri-ciri umum hantu

Pada umumnya orang-orang Melayu percaya hantu menjalankan aktivitinya pada waktu malam sahaja khususnya pada bulan mengambang. 99 % hantu dalam masyarakat Melayu terdiri daripada perempuan atau menyerupai perempuan. Hantu dalam masyarakat Melayu adalah untuk ditakuti, bukan untuk didekati.

Dan pada anggapan orang-orang Melayu juga, kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang, berwarna merah, selalunya selepas menghisap darah.

Jenis-jenis hantu

Ada pelbagai jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu puaka ini. Munsyi Abdullah dalam Hikayat Pelayaran Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan karut orang Melayu ini.

Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini adalah :

01. Pontianak - wanita berpakaian serba putih berambut panjangpuntianak
02. Polong
03. Toyol – hantu kanak-kanak bogel yang digunakan untuk mencuri
04. Pelesit – hantu perempuan yang dipelihara sebagai suruhan
05. Hantu air – tinggal di dalam air ( sungai, paya atau tasik )
06. Hantu raya – hantu lelaki, dipelihara dan dipelihara sebagai suruhan
07. Hantu bungkus - makhluk ghaib yang berbungkus dalam kain kafan
08. Langsuir – hantu perempuan yang suka berterbangan dan mengilai
09. Bota - makhluk besar hodoh menjelma dari dalam tanah
10. Bajang - makhluk aneh
11. Bunian (Kerajaan, Penghulu, Puteri) - Kacukan Jin & Manusia
12. Hantu Jepun -
13. Hantu bukit
14. Hantu kubur
15. Pari-pari / Hantu Pari - Gelaran lain bagi Orang Bunian
16. Hantu punjut
17. Jerangkung
18. Hantu laut
19. Hantu Tinggi / Hantu Galah - Hantu yang setinggi pokok kelapa
20. Jin Tanah
21. Hantu Keramat
22. Hantu Kum-Kum
23. Hantu Bungkus
24. Orang minyak - Manusia biasa yang mengamalkan Ilmu Hitam
25. Penanggalan / Penanggal – Kepala yg terbang bersama organ perut
26. Pocong
27. Puaka
28. Hantu bidai
29. Hantu kopek
30. Hantu Tetek
31. Harimau Jadian - Jelmaan Jin atau Manusia yang berilmu
32. Jembalang tanah
33. Hantu tengelong / tengelung / tanglung - sama spt penanggal
34. Kuntilanak - Gelaran Pontianak di Indonesia

Lain-lain jenis hantu akan ditambah dari masa ke semasa


Menghalau hantu

Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap si pesakit diganggu sesuatu dan akan berpaling kepada perkhidmatan tradisional sebagai alternatif bagi mengubati pesakit.
Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-
• Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya dengan cara menurun.
• Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
• Menurut keugamaan masing-masing.

Sesetengah mereka yang berfikiran moden berpendapat, ianya hanyalan kesan placebo. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini adalah penyakit dalam fikiran (psikologi). Walaubagaimanapun, keluarga pesakit tidak mempeduli apa yang berlaku. Bagi mereka, asalkan sipesakit sembuh, mereka akan melakukan apa jua yang diperlukan.

Bersahabat dengan makhluk halus spt jin, jin Islam, khadam, bunian dll

Bersahabat dengan jin merujuk kepada seseorang yang mengikat tali persahabatan dengan makhluk halus. Persahabatan ini biasanya tidak digalakkan kerana ia mampu mendorong seseorang menjadi syirik, tetapi selalunya masih dilakukan kerana keinginan mendapat kelebihan tertentu seperti kebolehan mengubat. Persahabatan dengan jin ini juga dikenali sebagai saka.

Mereka yang bersahabat dengan jin ini perlu mematuhi beberapa syarat seperti ada yang meminta persembahan makanan, ada yang perlu dibakar kemiyan pada waktu-waktu tertentu dan ada yang mengenakan syarat-syarat tertentu dan mereka perlu mengerjakan amalan Islam dengan taat. Jin yang mengenakan syarat mereka yang bersahabat dengan mereka agar mengerjakan amalan Islam dengan taat biasanya dikenali sebagai jin Islam atau kaum bunian.

Cara berhubung dengan sahabat jin

Cara lama ialah memanggil bomoh atau pawang di dalam sesebuah kampung. Bomoh atau pawang biasanya membakar kemenyan , membaca mentera tertentu seperti bahasa Jawa , menggunakan kain kuning dan dedaun-dedaun tertentu sebagi peramu atau perambas. Untuk kes yang lebih berat, kambing akan disembelih, darahnya dijadikan acak (hidangan kepada hantu) dan dihanyutkan ke dalam sungai. Daging kambing dimasak dan dimakan secara beramai-ramai. Sekarang perkara ini tidak lagi dilakukan oleh kebanyakan orang Melayu beragama Islam kerana perkara itu telah diketahui sebagai syirik dan amat ditegah dalam Islam.

Di Terengganu , tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dipersembahkan. Sekiranya seseorang itu gagal diubati dengan cara biasa, satu upacara besar-besaran dengan tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dilakukan. Nyanyian lagi Ulik Mayang yang merdu beserta tarian ringkas , dirambas dengan tandan pinang kecil menyeru tuan puteri (bunian) agar datang menyembuhkan pesakit.

Di banyak tempat, bomoh boleh 'menyelap' atau 'menurun' hingga boleh bertutur bahasa asing. Contohnya bahasa Siam, bahasa Jawa, bahasa Jerman dan bahasa Inggeris. Pendengar akan kehairanan kerana bagaimana jin boleh berbahasa asing walaupun sepatah dua sahaja. Tidak pasti pula, entah betul entah tidak bomoh tersebut boleh berbahasa asing atau badannya dikuasai oleh Kuasa Asing yang lain.

Kualiti bomoh semakin meningkat jika berasal dari Orang Asli , orang Siam atau orang Jawa. Ilmu orang Asli tentang menghalau hantu dan memanggil hantu dipercayai lebih mujarab dan sangat ditakuti. Sehinggakan jika mereka bertindak memuja atau mengenakan buatan terhadap orang lain, ternyata amat sukar diubati.

Bagi saya, perkara ini memang benar kerana mengikut ajaran Islam, syaitan yang mendampingi orang kafir adalah lebih kuat daripada syaitan yang mendampingi Ahli Kitab. Dan syaitan yang mendampingi Ahli Kitab adalah lebih kuat daripada syaitan yang mendampingi Umat Islam - Muhammad Kedah2U

Menurut cara perubatan Islam

Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti Ustaz, Imam, Lebai, Pak Aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk menyelesaikan masalah ini dengan doa dan bacaan ayat-ayat suci Al Quran. Mereka yang sakit biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat dan biasanya dimandikan / disuruh mandi dengan air campuran limau bagi menyegar badan. 

Ini lebih dikenali sebagai Mandi Bunga Kebiasaannya, mengikut amalan orang Melayu, air yang dibacakan bacaan al Quran diberi minum bagi memulih / penguat semangat pesakit. Ini sama seperti mereka yang berfikiran moden berjumpa dengan pakar motivasi bagi meringankan fikiran daripada masaalah yang dihadapi.

Mengikut ajaran Islam, makhluk halus, roh jahat, jin atau hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran tetapi kaedah ini perlu diamalkan selalu untuk mendapatkan kesan yang mujarab. Oleh itu, kebanyakan orang Melayu lebih suka menyimpan al Quran di rumah sebagai penjaga, selain ayat-ayat Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak mengerti apa maksudnya. 

Perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar jika diharapkan terus kepada Al-Quran atau ayat-ayat tersebut tanpa membacanya, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya menjadi hiasan atau penolong.

Tetapi bagi saya, lebih baik menggantung ayat-ayat suci Al-Quran sebagai hiasan dengan niat untuk mendapatkan rahmat Allah swt, asalkan tidak tersalah niat iaitu mengharapkan kuasa daripada ayat-ayat tersebut, daripada mengantung gambar-gambar yang kurang sesuai seperti gambar-gambar makhluk ( binatang, artis, ahli sukan dll ) yang akan menjauhi kunjungan malaikat ke dalam kediaman kita, sebaliknya mengundang syaitan pula untuk bertapak. 

Selain itu, terdapat juga ayat-ayat Quran dan doa-doa yang telah dijadikan rajah dan boleh diperolehi daripada kitab-kitab yang menjadi catatan amalan kebatinan Islam sejak zaman dahulu. Rajah-rajah ini juga dijadikan ikhtiar dan sebagai alternatif doa di atas sesuatu tujuan asalkan berpegang teguh bahawa ia hanyalah sebagai ikhtiar dan hanya Allah swt sahaja yang Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu. Tetapi ramai yang tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan secara Islam, terus melabelkannya sebagai syirik, khurafat dan sebagainya

3 comments:

  1. salah fakta teks. roh ada dinyatakan dalam Islam...mana pulak takde....

    ReplyDelete
  2. Tak adil betullah.Hantu kopek ada.Mana hantu konek?

    ReplyDelete
  3. apa yang lu merepek nie labu... apa pun terima kasih kerana bersusah payah komen kat artikel gua...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The True Brothers

The True Brothers