Sebelas tahun menyulam cinta akhirnya pemain badminton nombor satu dunia, Chong Wei menamatkan zaman bujang dan disatukan dengan pasangannya Mew Choo dalam satu majlis yang begitu meriah dan warna-warni bertemakan Warna Keemasan dan Bunga Berwarna Putih.
Jelas terpancar wajah ceria kedua mempelai sebaik diarak memasuki Dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diiringi 12 pengiring termasuk beregu negara Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat.
Pasangan yang berpakaian ala Barat, masuk ke dewan pada pukul 8.30 malam dengan diiringi lagu romantik 'Colors of the Wind' nyanyian Vanessa Williams.
"Terima kasih kepada semua tetamu yang sudi hadir ke majlis saya," katanya yang sempat menjawab pertanyaan media sebelum diarak memasuki dewan.
Majlis yang berlangsung hampir dua jam dimulakan dengan persembahan slide show yang menceritakan saat Mew Choo dilamar. Sepang Gold Coast menjadi saksi bagaimana ikatan ini akhirnya disatukan. Kira-kira 1,000 tetamu kenamaan hadir pada majlis berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajjah Haminah turut hadir mencemar duli memeriahkan majlis perkahwinan mereka.
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditemani anak lelakinya dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isterinya turut hadir.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.
Pengantin kemudiannya menjalankan upacara memotong kek dengan mengenakan busana yang berbeza iaitu Chong Wei berpakaian suit biru manakala Mew Choo bergaun merah.
Ahmad Shabery menyifatkan perkahwinan ini adalah yang terhebat kerana ia melibatkan penyatuan dua bintang sukan ternama negara.
"Tahniah kepada kedua pengantin baru. Diharapkan perkahwinan ini akan menaikkan lagi semangat Chong Wei untuk terus berjuang dan mungkin kehadiran Mew Choo mampu mengubah keputusan Chong Wei dan mahu bertanding ke Sukan Olimpik Rio 2016.
"Mereka sangat secocok dan Mew Choo adalah pendorong semangat untuk Chong Wei terus berjaya," katanya.
Menteri-menteri Kabinet lain yang hadir termasuklah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri. Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh adalah antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Najib mengucapkan tahniah kepada Chong Wei sempena perkahwinannya beliau berharap Chong Wei dan isterinya akan menikmati hidup bahagia pada masa depan.
"Tahniah, Lee Chong Wei sempena perkahwinan anda dengan Wong Mew Choo. Semoga anda berdua menikmati kebahagiaan pada tahun-tahun mendatang," kata Najib dalam tweet terbarunya semalam.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Jemputan ramai dari kalangan orang Melayu, tapi kenapa cakap bahasa yang mereka tak faham?
ReplyDelete