Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali hari ini membela kenyataan yang dibuat oleh Naib Pengerusi parti itu, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataanya bahawa "orang Melayu juga diberi kebebasan memilih agama, selain agama Islam.
Sebaliknya Ahli Parlimen Gombak itu menyalahkan media kerana memutar-belitkan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
“Itu (akhbar) Utusan Malaysia..Nurul Izzah tidak menyatakan demikian. Beliau telahpun buat penjelasan yang cukup jelas bahawa sebagai seorang muslim, kita terikat dengan undang-undang syariah, itu jelas.
“Apa yang dinyatakan oleh Nurul Izzah ialah bagi orang yang bukan Islam..kerana di dalam Islam, kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk menerima Islam. Kita tak boleh paksa. Tetapi bagi seseorang Muslim, kita wajib terikat dengan undang-undang syariah,” tegas beliau.
Izzah kelmarin, ketika menjadi panel sebuah forum di Subang, anjuran pergerakan Kristian memberitahu, orang Melayu diberi kebebasan penuh untuk memilih agama mereka, sekaligus membayangkan mereka harus diberi kelonggaran memilih agama selain Islam.
“Tidak harus ada paksaan di dalam agama. Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum),” kata anak perempuan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Izzah kemudiannya cuba menjernihkan keadaan dengan mengatakan, kenyataannya itu dibuat berdasarkan Al- Quran, ayat 256, Surah Al-Baqarah yang menyatakan "tiada paksaan dalam Islam".
Namun begitu kenyataannya itu tidak merujuk kepada keseluruhan pengertian ayat tersebut iaitu:
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui,” Surah Al-Baqarah, ayat 256.